Latarbelakang

PROGRAM LATIHAN INDUSTRI LUAR NEGARA

Bagi meningkatkan reputasi akademik UPM di peringkat antarabangsa dan tempatan, pelajar-pelajar UPM telah digalakkan untuk mengikuti Program Mobiliti Akademik melalui Latihan Industri di Luar Negara. Melalui program ini, pelajar akan diberi ruang dan peluang untuk meluaskan pengalaman, pembelajaran, mempelajari budaya kerja dan nilai-nilai murni industri dan mewujudkan jaringan dengan industri di luar negara.

Program Latihan Industri di luar negara diwujudkan untuk mencapai objektif berikut: 

  1. Memperdalam dan memperluaskan aktiviti MoU/MoA yang telah ditandatangani oleh UPM dan industri luar Negara;
  2. Mempertingkatkan penampakan UPM di persada antarabangsa;
  3. Memperluaskan pengalaman pendidikan bagi pelajar UPM;
  4. Memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kefahaman mereka mengenai isu dan perspektif global berkaitan dengan bidang ilmu yang diceburi;
  5. Membolehkan pelajar mengamalkan ilmu yang dipelajari serta mengilmukan apa yang diamalkan di industri-industri di luar Negara; 
  6. Melatih pelajar sebagai duta kecil UPM dan Malaysia; 
  7. Mempertingkatkan tahap keyakinan pelajar untuk berurusan dengan persekitaran perniagaan antarabangsa, industri, majikan, pembekal, subordinat serta persekitaran kerja di luar negara; dan
  8. Menggalakkan knowledge transfer dan best practice dari luar negara dalam bidang berkaitan. 

 

Salah satu fungsi dan peranan Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (Cirnet), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) adalah untuk mendapatkan peluang-peluang penempatan Latihan Industri di industri-industri di luar negara, yang dapat memberikan impak yang tinggi serta insentif seperti elaun dan kemudahan untuk pelajar-pelajar UPM. Justeru, pelbagai pertemuan, perbincangan serta jaringan bersama industri daripada luar negara diadakan dari masa ke semasa.